5.0 DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
5.1 Adat selepas kelahiran bayi
5.1.1 Temu bual
Jadual 1 : Analisis adat-adat
selepas kelahiran bayi dalam masyarakat melayu
Bil
|
Adat
selepas kelahiran bayi dalam masyarakat melayu
|
Informan
1
|
Informan
2
|
Informan
3
|
Informan
4
|
1
|
Apakah
adat-adat selepas kelahiran bayi yang diamalkan dalam masyarakat melayu ?
|
Adat
yang saya tahu ialah menanam uri, memberi nama, membelah mulut, bercukur
jambul, bersunat.
|
Adat
yang saya tahu ialah menanam uri, memberi nama, membelah mulut, mencukur
jambul, naik buai, bersunat.
|
Adat
menanam uri, jejak tanah, mencuci lantai, mencukur jambul, membelah mulut dan
bersunat adalah adat yang saya tahu.
|
Adat
naik buai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat.
|
Berdasarkan jadual 1 di atas, pengkaji telah menemu bual empat orang penduduk
yang mendiami kawasan Kampung Simpang Sepayang, Kuala Rompin, Pahang untuk
mendapatkan maklumat tentang adat-adat selepas kelahiran bayi dalam masyarakat
melayu. Keempat-empat penduduk tersebut dijadikan sebagai informan untuk
membantu pengkaji dalam menyiapkan temu bual ini.
Informan pertama mengetahui lima adat selepas kelahiran bayi. Antaranya ialah
adat menanam uri, memberi nama, membelah mulut, bercukur jambul dan bersunat.
Informan kedua pula, mengetahui enam adat. Antaranya ialah adat menanam uri,
memberi nama, membelah mulut, mencukur jambul, naik buai dan bersunat.
Selain itu, informan ketiga juga mengetahui enam adat
selepas kelahiran bayi. Antaranya ialah menanam uri, jejak tanah, mencuci
lantai, mencukur jambul, membelah mulut dan bersunat. Informan terakhir hanya
mengetahui empat adat. Antaranya ialah naik buai, mencukur jambul, membelah
mulut dan bersunat.
5.1.2
Adat-adat Selepas Kelahiran
Di kalangan masyarakat melayu, uri cukup dijaga. Selain
ditanam beserta dengan pelbagai benda, seperti jarum, paku, dan sebagainya.
Sesetengah tempat, ia dipasang lilin waktu malam selama tujuh malam. Antara
amalan menanam uri ialah uri hendaklah ditanam bersama jarum atau paku
mengelakkan drpd gangguan makhluk halus dan ianya jelas salah kerana kita
dilarang terus daripada percaya yang lain selain Allah. Selain itu, uri dilumur
garam kasar dan asam gelugur agar bayi tidak menghadapi masalah kulit, berkudis
dan terkena sawan. Seterusnya, menanam uri bersama pensil dan buku dengan
harapan bayi tersebut akan cepat pandai kelak. Uri yang telah dibersihkan akan
dibalut dengan kain putih bersama barang-barang seperti diatas. Setelah uri
dibalut, uri tersebut hendaklah diletakkan ke dalam tempurung kelapa dan
ditanam.
Mengikut ajaran Islam, adalah sunat memberi nama yang mempunyai maksud yang
baik kepada bayi. Kebiasaannya jika bayi itu lelaki, nama akan diberi mengikut
nama para nabi manakala untuk bayi perempuan, nama isteri-isteri atau anak-anak
nabi akan dipilih. Mengikut adat melayu, nama akan diberi selepas hari ketujuh
kelahiran.
Lazimnya bayi yang baru lahir akan tanggal pusatnya dalam tempoh seminggu. Pada
ketika itu, adat cuci lantai akan diadakan. Adat ini seelok-eloknya dilakukan
pada hari Isnin atau Khamis. Bahan-bahan yang digunakan untuk adat cuci lantai
ini adalah nasi kunyit dan lauk-lauk, seekor ayam hidup, paku, buah keras,
asam, garam dan sirih pinang. Sepersalinan pakaian juga akan dihadiahkan kepada
bidan yang menguruskan adat ini. Upacara adat cuci lantai ini dimulakan dengan
kenduri doa selamat. Selepas itu bidan akan memulakan jampi serapahnya sambil
memegang ayam dengan cara mengais-ngaiskan kaki ayam ke atas lantai tempat
wanita itu bersalin. Seterusnya lantai itu akan dibersihkan. Mak bidan akan
menjalankan keseluruhan upacara ini. Sebelum itu, si ibu dan si bayi akan
dimandikan, diurut dan dibedak. Selesai upacara tersebut, bahan yang digunakan
tadi beserta sedikit wang akan dihadiahkan kepada bidan tersebut.
Adat membelah mulut dilaksanakan dengan menjemput ahli keluarga terdekat dan
orang-orang berilmu yang bertutur kata baik, tidak jahat dan kasar untuk
melakukan adat ini. Bahan yang digunakan adalah air zam-zam dan cincin emas.
Kemudian dijemputlah orang yang berilmu dan bertutur kata elok itu untuk
membelah mulut bayi tersebut dengan mencecah cincin ke dalam air zamzam serta
menyapu di antara dua bibir bayi sambil membaca Bismillah dan selawat ke atas
Rasulullah dan berdoa agar bayi itu bercakap perkara yang baik serta beradab
waktu bercakap dan semoga dilimpahkan dengan rezeki yang halal.
Adat cukur jambul kebiasaannya dilakukan pada hari ketujuh kelahiran. Untuk
menjalankan upacara ini beberapa kelengkapan disediakan. Antaranya ialah sebuah
dulang berisi tiga mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras
kunyit dan bertih. Selain itu, sebiji kelapa muda dipotong bahagian kepalanya
dengan potongan berkelok-kelok siku seluang untuk dijadikan penutup. Airnya
dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di
dalam sebiji batil. Biasanya kelapa itu dihias, umpamanya dengan melilitkan
rantai emas atau perak di kelillingnya. Pada hari itu, bayi dipakaikan dengan
pakaian cantik dan diletakkan di atas talam yang dialas dengan tilam kecil atau
didukung oleh bapa atau datuknya. Si bayi seterusnya dibawa ke tengah majlis
dan disambut oleh hadirin lelaki sambil berselawat. Si bayi akan ditepung tawar
serta ditabur beras kunyit dan bertih. Para hadirin secara bergilir-gilir akan
menggunting sedikit rambut bayi tersebut dan dimasukkan ke dalam kelapa tadi.
Bilangan orang yang menggunting rambut bayi tersebut hendaklah dalam bilangan
yang ganjil, iaitu tiga, lima, tujuh dan seterusnya. Setelah selesai pihak
lelaki menjalankan acara menggunting, pihak perempuan pula mengambil alih. Setelah
selesai kedua-dua pihak menjalankan adat bercukur barulah kepala bayi tersebut
dicukur sepenuhnya oleh bidan atau sesiapa sahaja yang boleh melakukannya.
Kesemua rambut yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa. Akhirnya kelapa
tersebut di tanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau
seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan.
Adat naik buai ini merupakan satu-satunya majlis yang masih diamalkan dan
mendapat sambutan di kalangan masyarakat Melayu hari ini. Semasa upacara ini
dijalankan bayi tersebut akan diletakkan di dalam buaian yang menggunakan kain
songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat
di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan semasa upacara berlangsung.
Ketika itu juga, nazam atau marhaban akan dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau
wanita. Seterusnya bunga telur dan bunga rampai akan dihadiahkan kepada
kumpulan ini.
Adat jejak tanah pula dilakukan sebagai meraikan anak yang baru pandai berjalan.
Turun tanah bermakna seorang anak kecil dilepaskan untuk memijak tanah sebagai
lambang meneruskan kehidupannya. Lazimnya kenduri doa selamat diadakan untuk
mengiringi upacara ini. Selepas kenduri selesai, tikar dibentang di hadapan
tangga sebagai alas kanak-kanak berkenaan berjalan. Di atas tikar disediakan
beberapa dulang yang berisi pelbagai jenis barang, termasuk makanan dan
minuman. Antara barangan yang diletakkan di dalam dulang itu ialah cermin,
sikat, jam tangan, gelang, cincin, rantai, bedak, kain, kasut, gunting, bubur,
air sejuk dan wang. Lazimnya jumlah barangan yang diletakkan adalah ganjil.
Kanak-kanak tersebut akan dibiarkan bergerak memilih barang tersebut dan
dihadkan mengambil tiga barangan sahaja. Menurut kepercayaan orang Melayu juga,
adat ini dilakukan untuk meramal masa depan kanak-kanak itu berdasarkan
barangan yang diambil. Umpamanya jika kanak-kanak itu mengambil gunting, kelak
dia kuat bekerja atau pandai membuat kerja tangan. Adat ini juga boleh
dilakukan secara sederhana iaitu dengan memijakkan kaki kanak-kanak itu ke
piring-piring kecil yang berisi dengan padi, beras, tanah dan beberapa jenis
daun yang telah dijampi oleh mak bidan. Seterusnya bayi itu dijejakkan ke tanah
dan doa dibaca.
Adat bersunat bagi bayi
perempuan lazimnya dilakukan ketika bayi itu masih kecil iaitu beberapa hari
selepas dilahirkan. Namun demikian, kebanyakan kanak-kanak perempuan akan
menjalani upacara ini sekurang-kurangnya ketika berumur setahun atau lebih.
Adat ini akan dijalankan oleh bidan. Bagi kanak-kanak lelaki, mereka akan
menjalani adat bersunat atau juga dipanggil berkhatan ketika umur mereka dalam
lingkungan 8 hingga 12 tahun. Adat berkhatan akan dijalankan oleh Tok Mudim. Di
dalam ajaran Islam, bersunat atau berkhatan adalah wajib kerana Islam
menitikberatkan kesucian lahir dan batin. Di samping itu juga,ia baik dari segi
kesihatan.